djchef 90% Pemandu teksi Pulau Pinang Enggan Guna Meter | PANAS GILER!! - DJDANCHEF

Wednesday, 24 July 2013

90% Pemandu teksi Pulau Pinang Enggan Guna Meter

Pemandu teksi Pulau Pinang Enggan Guna Meter


GEORGE TOWN – “Ini Teksi Bermeter, Tawar menawar Adalah Dilarang, Minta Resit” tertera di pintu semua teksi di negeri ini.

Namun anda jangan terkejut apabila lebih 90 peratus pemandu teksi enggan menggunakan meter dan sebaliknya meletakkan harga tertentu untuk ke sesuatu destinasi. Seorang penumpang Izzati Azwani Harun, 23, berkata beliau terkejut dikenakan tambang RM15 bagi perjalanan kira-kira dua kilometer sahaja.

“Itupun setelah puas tawar menawar, akhirnya saya setuju menaiki teksi dengan harga itu kerana tiada pilihan,” katanya ketika ditemui di sini. Dilaporkan insiden pergaduhan pernah berlaku antara pelancong asing dengan pemandu teksi – berpunca rasa tidak puas hati kerana tambang mahal yang tidak munasabah dengan jarak perjalanan.

Setiausaha Gabungan Persatuan Pemandu Teksi dan Pemandu Kereta Sewa Pulau Pinang, Mohamad Shahimi Hadzri ketika dihubungi mengakui lebih 90 peratus pemandu teksi di negeri ini tidak menggunakan meter.

Beliau memberikan alasan kadar tambang teksi bermeter diwartakan untuk negeri ini hanya RM4 untuk kilometer pertama adalah terlalu murah selain kesediaan penumpang untuk tawar-menawar tambang.

“Kami hanya menggunakan meter jika terdapat pihak penguat kuasa melakukan operasi,” katanya dan menurutnya jika pihak berkuasa mahukan pemandu teksi menggunakan meter, mereka haruslah melayan permintaan untuk menaikkan kadar itu.

Menurutnya jarak perjalanan di negeri ini adalah dekat dan tidak menguntungkan jika menggunakan meter.

“Saya berharap agar pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dapat bekerjasama dengan pihak persatuan untuk membuat kajian lebih terperinci mengenai hal ini,”katanya.

Sementara itu jurucakap SPAD ketika dihubungi berkata kadar tambang meter di Pulau Pinang mengikut kadar yang diluluskan dan dilaksanakan oleh Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

Katanya, SPAD akan mengadakan sesi perbincangan dengan persatuan-persatuan teksi berhubung perkara itu dan menurutnya kesalahan tidak menggunakan meter boleh menyebabkan permit digantung atau dibatalkan. – BERNAMA

JOM SHARE ARTIKEL INI:

1 comment:

Silakan komen djdanchef akan balas kunjungan anda.