SEORANG hamba ALLAH SWT diadili di hari pengadilan kelak, dia menghadapi tuduhan kerana mensia-siakan hidupnya di dunia demi untuk berbuat maksiat.
Sebaliknya, dia berkeras membantah dengan mengatakan tidak pernah melakukan perkara berkenaan.
Dia menafikan apabila malaikat memberitahu mengenai kesalahannya: “Mana saksi-saksi yang engkau maksudkan? Di sini tiada sesiapa melainkan aku dan suaramu sahaja.”
Jawab malaikat, “Inilah saksi-saksimu…”
Tiba-tiba mata berbicara, “Saya yang memandang.”
Disusuli dengan telinga, “Saya yang mendengar perkara itu.”
Hidung pun tidak ketinggalan, “Saya yang mencium.”
Bibir pun mengaku dengan selambanya, “Saya yang merayu.”
Lidah menambah dengan berani, “Saya yang menjilat dan menghisap.”
Tangan tanpa malu meneruskan, “Saya yang meraba dan meramas.”
Kaki pula menyusul, “Saya yang berjalan dan berlari semasa itu.”
“Kesemua anggota tubuhmu akan memberikan kesaksian mengenai perbuatan aibmu.” kata malaikat lagi.
Lelaki tersebut tidak mampu menyatakan apa-apa hujahan lagi lantas dia berputus asa dan berduka kerana sebentar lagi akan dihumbankan ke dalam panasnya neraka jahanam.
Dia berharap agar segala perbuatan jahatnya dapat diselindung. Tatkala dia sedang dilanda kesedihan, tiba-tiba terdengar satu suara halus yang amat lembut dari sehelai bulu mata berbunyi, “Saya pun ingin mengangkat sumpah untuk menjadi saksi dalam perkara ini.” Malaikat menjawab dengan tenang, “Silakan wahai bulu mata.”
“Terus terang sahaja, menjelang ajalnya pada satu malam yang hening, aku pernah dibasahi dengan juraian air mata penyesalan mengenangkan segala perbuatan keji yang telah dilakukan.
Bukankah Rasulnya telah berjanji, apabila ada seorang hamba yang ingin bertaubat, walaupun sehelai bulu mata sahaja yang dibasahi dengan air mata, demikian itu diharamkan dirinya dari ancaman api neraka?
Maka, saya sehelai bulu mata, berani tampil sebagai saksi bahawa dia telah bertaubat sampai membasahi saya dengan air mata penyesalan.”
Dengan kesaksian bulu mata itu, orang tersebut dibebaskan dari neraka dan segera dihantar ke syurga. -Sinar Harian
No comments:
Post a Comment
Silakan komen djdanchef akan balas kunjungan anda.